Borak Tepi bersama Iszuddin Ismail, Presiden NEF

Iszuddin Ismail

Peralihan dari bidang teknikal ke pengurusan bukanlah sesuatu yang mudah bagi setiap individu teknikal. Lebih lagi yang terbabit dalam industri ICT. Ramai yang lebih suka kekal menguruskan kod dan berbicara tentang sistem daripada berhadapan sopan dengan kerenah manusia.

Dikenali sebagai Dino, beliau terlibat secara langsung dalam aktiviti yang mempromosikan startup tempatan dan menjadi individu penting dalam grup JomWEB iaitu sebuah grup IT yang aktif di anggotai oleh mereka dari peringkat sekolah sehingga ke syarikat ternama.

Beliau kini memegang jawatan sebagai Presiden NEF, CEO Taming Tech Sdn Bhd dan juga Duta RunCloud.io bagi Malaysia. Selain mengepalai acara komuniti seperti Jomlaunch, beliau juga masih aktif menulis kod dan menaip tentang teknologi.

Berikut 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada Tuan Iszuddin Ismail.

#1 – Anda antara individu yang bertanggungjawab memeriahkan acara IT tempatan, siapa anda yang umum tidak tahu?

Saya seorang lelaki yang tiada minat atau hobi, ada yang kata saya “boring”.

Tidak berapa minat bersukan dan tidak minat hendak bermain bola sepak atau futsal. Dan juga tidak menonton liga bola di kedai mamak ataupun di stadium. Dan juga tidak bermain badminton, mengayunkan kaki berjoging dan menunjal bola snuker. Tidak juga bermain boling dan apatah lagi melibas kayu golf.

Saya tidak minat perihal automotif dan permotoran, tiada niat juga hendak “make-up” kereta. Juga tidak mempunyai motorsikal dan sudah pasti tidak pandai hendak repair kedua-duanya. Saya tidak main game, jangan tanya tentang Minecraft, DoTA, PUBG, Fortnight atau yang lain kerana semuanya saya tidak main.

Yang saya suka adalah musik. Sukakan persembahan live band, walaupun tidak gemar pergi menonton konsert.

Program realiti TV bukanlah pilihan saya. Tidak boleh bermain alat musik dan sumbang jika menyanyi, orang yang kata, saya dengar OK sahaja. Saya sukakan seni beladiri seperti silat. Ini pun saya tidak pandai juga, jangan ajak saya berlawan. Belajar tidak pernah khatam, nanti saya kalah.

#2 – Memegang pelbagai jawatan berprofil tinggi seperti Presiden dan CEO. Apa yang ingin anda capai dan buktikan?

Secara peribadinya, saya tidak menjangka boleh sampai ke tahap ini, ia ibarat “go with the flow“. Ada yang memberikan kepercayaan, saya terima dengan hati terbuka. Bukanlah bermakna saya hebat. Ada ramai lagi yang lebih hebat dan bagus. Cuma, mungkin ini adalah giliran saya. Saya cuma jalankan apa yang termampu.

Khairil Iszuddin Ismail
Khairil Iszuddin Ismail, Presiden NEF

Sebagai Presiden NEF, sama juga prinsip yang ditanamkan dalam JomWEB, saya percaya:

1 – Kita ini hebat-hebat belaka.

2 – Banyak yang boleh dipelajari sesama sendiri jika dilakukan bersama dan saling mengenali.

3 – Kehebatan kita-kita ini wajar diketengahkan dan diketahui umum. Membolehkan kita diraikan dan dihargai serta memberi inspirasi kepada yang lain, untuk lebih maju.

#3 – Melalui JomLaunch, apa pandangan anda tentang projek atau produk syok sendiri?

Dalam sisi JomLaunch, ia berbeza dalam dunia bisnes yang mementingkan untung rugi. JomLaunch, kita lebih menitikberatkan nilai ilmu, pembelajaran, inovasi, RnD dan penerokaan. Secara jujur, saya tidak berapa peduli tentang projek syok sendiri. Mungkin ianya adalah sesuatu yang bagus untuk permulaan.

Mungkin ada yang berkata projek yang dibangunkan tiada nilai komersil, tiada siapa yang hendak guna dan bermacam lagi cemuhan kritikan tidak membina. Jika dilihat, projek syok sendiri ini adalah projek yang paling minima untuk dibangunkan. Tanpa perlu berfikir tentang apa yang akan terjadi selepasnya. Objektifnya lebih kuat kearah hendak merealisasikan idea yang tertanam dalam kepala pendiri projek. Sudah pasti ia memberikan pengalaman dan pengajaran yang berguna.

Sebagai contoh, kita boleh membina perisian Content Management System (CMS) yang baharu. Walaupun sudah ada yang sedia kukuh di pasaran. Ia bukanlah sesuatu yang salah dan tidak boleh. Mungkin boleh dibangunkan dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan yang minoriti bagi kelas perisian ini, bahasa “go” antaranya.

Jika hendak membina projek atau produk komersil, dimana wang modal adalah satu kemestian. Digalakkan terlebih dahulu membuat sedikit kajian dan kaji selidik tentang penerimaan pasaran. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Paling minima pun, kita boleh membina minimum viable product atau MVP untuk menguji penerimaan pasaran dengan pantas. Cara lain, boleh terus bertemu dengan golongan sasaran, menemubual dan bertanya itu ini sebelum membina produk.

Setiap risiko, kejayaan dan kegagalan kita yang hadapi. Janganlah dengar sangat kata nasihat orang luar. Dengar maklum balas dan pandangan pelanggan kita. Kita perlu dengar pandangan golongan sasaran dan pelanggan kerana ia lebih membantu dalam hala tuju produk.

Khairil Iszuddin Ismail
Jomlaunch 2019

#4 – Bagaimana anda mengatasi persepsi negatif ketika sesuatu acara komuniti yang ingin dijalankan?

Ini adalah perkara biasa yang perlu dihadapi. Saya juga manusia biasa dan juga terkesan jika usaha-usaha yang dilakukan tidak mendapat sambutan atau di “ignore“. Sedikit kecewa dan selalu percaya kita ada pilihan. Sama ada usahakan sesuatu yang lain atau cari golongan komuniti yang lebih menghargai.

Melalui pengalaman ini, saya boleh katakan. Jika hendak lakukan projek komuniti, carilah mereka yang sudi bersama dan teruskan sahaja. Yang tidak mahu, tidak mengapa. Biarkan sahaja dan fokus pada yang sudi. Ini aktiviti tidak bergaji, memang begitu lumrahnya.

Walaupun begitu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka-mereka yang sudi bersama selama ini dalam mengendalikan acara komuniti, terutamanya admin JomWEB, Jasdy Syarman antaranya.

#5 – Antara tips yang anda boleh berikan kepada mereka yang ingin memulakan startup IT?

Ayat yang tepat “Mulakan sahaja!”. Tidak perlu tunggu pelabur, geran ataupun VC.

Sekarang ini, fasiliti sudah semakin mudah didapati dan kos sudah semakin murah. Lebih lagi jika menggunakan cloud hosting, media sosial sebagai alat pemasaran dan lain-lain lagi. Dahulu, jika hendak bikin sesuatu yang spesel dan terkini, pastinya perlukan sebuah server sendiri, yang memerlukan lebih kurang RM500 sebulan.

Sekarang ini, hanya dengan RM30 kita mampu menggunakan sebuah server. Internet yang pantas juga membolehkan melakukan projek sampingan di luar waktu pejabat. Ini memungkinkan kita untuk tidak berhenti kerja untuk memulakan startup.

Khairil Iszuddin Ismail
Mulakan Sahaja

Hendak mulakan startup burger pun mungkin perlukan modal RM2000 ke RM3000. Apalah sangat RM100 setiap bulan untuk tampung projek IT sampingan kita?. Jika projek tidak menjadi sekalipun, atau gagal untuk menarik minat awal umum, pastinya ia bukanlah satu jumlah yang besar untuk dikategorikan sebagai rugi teruk. Ia adalah pengalaman mahal paling murah yang boleh dipelajari.

Jadi, ulang lagi sekali, “Mulakan sahaja!”.

Antara tips lain, buatlah sedikit kaji selidik dan pengesahan idea atau validasi. Dua kaedah yang biasa adalah dengan membina MVP, ataupun dengan bertemu dan menemubual golongan sasaran.

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


Website: iszuddinismail.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen