Memastikan sistem sentiasa dalam keadaan baik bukanlah tugas yang mudah. Lebih lagi ia melibatkan website pembelian atas talian. Hermo Malaysia, sebuah website e-commerce yang menawarkan produk kecantikan dengan harga patut, antara salah satu website yang mempunyai capaian yang tinggi.
Bermula dari proses memaparkan produk sehingga proses pembelian dan penghantaran ia perlu dipastikan setiap masa mampu berfungsi dengan baik.
Selaku Chief Technology Officer, berikut 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada Tuan Abdullah Irfan Mohd Radzi.
#1 – Ada CTO yang pandai berteori sahaja, anda CTO yang bagaimana?
Saya adalah CTO yang berbangga dengan pencapaian pasukan kami yang telah mengharungi beberapa cabaran yang getir. Pasukan kami sekarang terdiri daripada 14 orang, 12 dari Johor, 1 Selangor, dan 1 Naokhali. Majoriti bermula dari junior dan Alhamdulillah semuanya membesar dengan sihat.
#2 – Anda bermula sebagai designer UI/UX, siapa anda yang umum perlu tahu?
Selepas terlalu nakal sehingga dibuang dari universiti, saya bekerja sebagai technician di sebuah kedai komputer di Plaza Hiong Kong Sungai Buloh. Memahami bagaimana komputer berfungsi, dan minat perkomputeran mula timbul bermula dengan grafik 2D, 3D sehingga terjerumus dalam kancah pembangunan laman web, frontend tech. Saya pernah terlibat dalam pembinaan beberapa aplikasi web yang tak sempat melihat dunia, ada juga yang sempat, tapi sekejap je lah — Singcerity, Survey+, & Bazaare.
Saya menyertai Hermo pada 2015 sebagai UX Lead, yang mana ketika itu hanya terdiri dari 4 developer (1 ex-CTO, 1 backend, 2 frontend). Website Hermo yang terkini adalah hasil kerja saya yang pertama, released pada 2016. Tugas saya pada ketika itu ialah menyediakan boilerplate dan design system untuk frontend development. Bunyi macam canggih, tetapi resipinya adalah sesimple bahan-bahan berikut:
1 – AngularJS 1.6
2 – Bootstrap 4 Alpha SCSS
3 – Gulp
4 – John Papa’s LiFT principle.
Resipi tersebut telah berjaya mengharungi trafik yang tinggi dan menjana lebih kurang RM30j pada tahun 2017.
Disebabkan fokus utama bisnes adalah pada pembangunan mobile app (Android/iOS), sehingga kini web masih lagi dengan teknologi yang sama. Mungkin belum canggih seperti teknologi yang lain, tteapi di sebaliknya terdapat kisah kerjasama merentasi bangsa yang sangat indah. Versi yang lebih performant sedang dibina, insyallah akan dapat melihat dunia nanti.
Kemudian saya beralih kepada backend & infra development, mencari jalan yang terbaik untuk membantu tumbesaran aplikasi Hermo. Saya berkecimpung dalam bahasa PHP dan MySQL, kemudian ada sikit-sikit Python serta Dart.
Kini saya beralih fokus kepada pengurusan manusia & teknikal — sedang belajar menggunakan Jira dengan betul, hasil tunjuk ajar dari ahli terbaru kami, Arafat Rahman, Head of Engineering Hermo.
#3 – Antara isu teknikal paling mencabar dan solusi digunapakai?
Hermo sudah beroperasi selama 7 tahun. Kami inherit codebase dari pasukan yang lama (pasukan sekarang adalah generasi ke-2). Secara semulajadi, isu-isu legacy bertemu moden timbul. Antara approach popular yang kami ambil ialah Microservice Architecture, masih dalam pembikinan. Cabarannya terletak pada strategi yang kami perlu pilih dalam memastikan pemindahan dari legacy monolith kepada microservice sambil maintain BAU (Business As Usual).
Ini disebabkan Hermo berada di peringkat growth, dan cabaran utama adalah Scaling, yang merangkumi 4 aspek:
1 – Tumbesaran Pasukan: Scrum serta kepimpinan.
2- Tumbesaran Aplikasi: Microservice Architecture.
3 – Tumbesaran Infrastruktur: Devops Automation.
4 – Tumbesaran Data: Research.
Saya percaya masalah yang kami hadapi, bukanlah unik dan terjadi juga di mana-mana syarikat teknologi lain yang berada dalam stage yang sama. Approach yang diambil juga mungkin sama tapi berbeza.
Apa yang saya boleh rumuskan, walau apa jua isu teknikal dan solusi yang diambil, perkara yang paling utama adalah kebolehan setiap ahli untuk bekerja dalam pasukan. Kebolehan ini bergantung kepada kepimpinan yang ada — iaitu diri sendiri. Kebolehan mencari inisiatif, kepimpinan yang memberi peluang, dan sikap saling membantu tanpa prejudis. Bak kata Adam & Stacy — Bergabung, meletup.
#4 – Sebagai yang mengepalai tim teknikal, apa rutin tugas anda setiap hari?
1 – Scrum routines (Grooming, Planning, Sprint, Standup).
2 – Check email, Telegram & Skype.
3 – Programming, Research, Sign dokumen.
4 – Rutin manusia normal yang lain.
#5 – Impian dan perancangan yang ingin dicapai 5 tahun akan datang?
Hermo dalam 5 tahun akan menjadi sebuah platform yang dapat membantu individu mengenal pasti dan menjaga beauty welfare di samping memberikan pilihan produk yang bersesuaian dengan keadaan pengguna.
Impian saya secara umumnya adalah untuk melihat sinergi perkauman yang lebih matang di kalangan rakyat Malaysia, melupuskan sempadan bangsa dan memfokuskan tenaga kepada perkara yang lebih utama — Output yang berkualiti tinggi.
Memetik surah Al-Hujurat:13, memberitahu tentang objektif manusia dijadikan berbilang kaum adalah untuk saling mengenali. Dengan mengenali dan memahami corak pemikiran dan budaya bangsa lain, ia secara tidak langsung membuka minda kita untuk melihat sesuatu perkara dalam perspektif yang baru, lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan masalah pengurusan dan engineering.
Baca: Borak Tepi yang lain
Website: Hermo Malaysia