Borak Tepi bersama Ikhwan Nazri, CEO Amanz

Borak Tepi bersama Ikhwan Nazri, CEO Amanz

Menerajui laman web teknologi dalam Bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang mudah. Memulakan mungkin ramai yang mampu lakukan. Untuk mengekalkan sentiasa relevan adalah satu tugas yang memerlukan kemahiran pengurusan dan motivasi keusahawanan yang tinggi.

Amanz.my sebuah portal informasi tentang dunia IT berbahasa Melayu, bermula dengan kemahiran yang ada, dan dana yang terhad. Kini, dengan penambahan tenaga kerja, segmen yang berkembang dan bilangan pelawat mencecah jutaan sebulan, memungkinkan gaya pengurusan syarikat ini wajar dijadikan contoh.

Berikut 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada Tuan Ikhwan Nazri Mohd Asran, CEO Amanz Media Sdn Bhd.

#1 – Selain dari pengiklanan, bagaimana sumber pendapatan syarikat diperolehi?

Sejujurnya, memang melalui pengiklanan sahaja. Jika ada dalam bentuk lain pun adalah seperti affiliate atau referral. Tetapi tidak sebesar pengiklanan produk-produk gajet dan juga pengiklanan daripada syarikat yang berasaskan teknologi.

Perlu diingatkan untuk pengiklanan, frekuensi iklan dipaparkan adalah penting dan jika berdasarkan referral hanya akan memperolehi pendapatan apabila pembelian dilakukan, sekiranya pembelian tersebut bernilai rendah, ia tidak berbaloi dengan jumlah iklan yang dipaparkan.

Oleh itu, memang pengiklanan sahaja yang membolehkan syarikat media beroperasi. Jika ada sebarang industri atau subjek lain, kemungkinan besar ia akan kembali kepada model bisnes pengiklanan.

#2 – Anda juga dikenali dengan nama Tekong, apa yang boleh dikongsikan sisi lain tentang anda?

Tekong merupakan nama panggilan yang dianugerahkan waktu orientasi ketika belajar di MRSM Taiping. Oleh kerana terdapat dua “Ikhwan” ketika itu, saya yang berlakon sebagai tekong bot telah mula “mendapatkan” nama tersebut.

Sisi yang dapat dikongsikan adalah “hendak Seribu daya”. Sisi yang lain, tidak berdaya dikongsikan.

#3 – Sepanjang bersama Amanz, pengalaman yang anda tidak boleh lupakan?

Pengalaman menghadiri Hajj Hackathon di Arab Saudi pada tahun 2018, adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Ini kerana jemputan untuk acara tersebut diterima dalam tempoh 72 jam. Dan tiket penerbangan juga diterima dalam tempoh 4 jam sebelum acara. Malah untuk memasuki negara Arab Saudi memerlukan memiliki visa yang sah dan pada waktu tersebut merupakan musim haji maka kawalan kemasukan lebih ketat.

Kebiasannya apabila menghadiri acara antarabangsa, kesemua perkara seperti pengangkutan, penginapan dan juga visa perlu disediakan paling kurang 3 minggu sebelum acara bermula. Namun inilah perkara paling “gila” sepanjang kerjaya saya dalam Amanz.

Berbekalkan keyakinan yang diberikan oleh penganjur, dan hanya dengan lafaz mereka “Insya-Allah brother, everything will be okay”, akhirnya saya dapat memasuki Arab Saudi tanpa sebarang visa, melalui imigresen VIP, dan berjaya menghadiri acara tersebut. Malah saya sempat melawat Tanah Haram dengan polis pengiring.

Sampai mati saya boleh cakap – pernah masuk tanpa visa, dan tiket flight dapat 4 jam sebelum terbang.

Bagi saya, keupayaan seseorang itu adalah bergantung kepada pelbagai perkara diluar kawalan kita dan bagaimana menghadapinya. Dalam konteks pekerja media, terkadang kita hadir ke acara, dengan kamera yang kehabisan bateri, atau dengan maklumat yang sedikit. Bagaimana kita keluar dari cabaran tersebut merupakan kisah bernilai untuk disampaikan pada masa depan.

#4 – Bagaimana anda meyakinkan tim Amanz untuk yakin dengan keputusan yang anda buat?

Pada kad nama jawatan saya adalah CEO. Pada profil Twitter, Facebook dan juga Linkedin, saya menggunakan Supreme Dictator. Memenuhi tanggungjawab sebagai seorang diktator, beberapa “directive” asas pada syarikat media ini termasuklah:

1 – Tulis dari hati, untuk pembaca faham.
2 – Berita perlu terbit dalam masa 10-20 minit selepas pengumuman utama. Lewat dari itu, anda dikira lambat.

Dengan asas directive tersebut, segala keputusan dapat dilakukan dengan lebih mudah. Pasukan tahu berita perlu cepat. Pasukan tahu perlu terbitkan berita sebelum makan. Dan mereka tahu supaya maklumat dapat disampaikan.

Amanz Media

Saya mengalu-alukan perbezaan pendapat dan keputusan yang diambil, perlulah bertanggungjawab keatasnya. Saya mendapat banyak inspirasi dari cerita perang maka gaya untuk meyakinkan mereka juga digarap dari cerita-cerita seperti Band of Brothers, The Pacific, dan pelbagai lagi.

#5 – Perancangan Amanz untuk kekal relevan 5 tahun akan datang?

Mengapa perlu rancang untuk kekal relevan 5 tahun jika boleh rancang untuk sepanjang hayat? sabar, gurau sahaja.

Amanz Media
Amanz Media Sdn Bhd

Amanz merupakan kombinasi “man/human” diantara A-Z. Maka segala informasi berkaitan manusia akan kami dokumenkan dan kongsikan dalam bahasa yang mudah difahami penduduk setempat.

Dibawah Amanz kini bukanlah satu topik sahaja, malah terdapat laman web lain yang diusahakan antaranya Aksiz.com untuk permainan dan pop-culture, Rnggt.com untuk informasi berkaitan kewangan dan perniagaan, TZKRH.com untuk kandungan islamik nafas baru, serta Tajria.com yang menyingkap informasi kewanitaan.

Untuk perancangan masa akan datang, menerusi inisiatif AmanzNXT, kami melabur untuk idea yang menarik dan juga berpotensi mengembangkan ilmu. Sehingga kini kami telah melabur dalam beberapa projek menarik, tidak terhad di Malaysia seperti Runcloud malah pasaran antarabangsa seperti Hackernoon.

Akhir kata, hendak seribu daya. ¬‿¬

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


Website: Amanz.my
FB Page: AmanzNetwork


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen