Borak Tepi bersama Harisfazillah Jamel, Penggerak Sumber Terbuka

Beliau tidak asing lagi dalam aktiviti perisian Sumber Terbuka di Malaysia. Dikenali sebagai Linux Malaysia, Cikgu, serta banyak terlibat dalam proses installasi dan konsultasi produk yang berasaskan Sumber Terbuka, baik di sektor kerajaan mahupun swasta.

Selaku Managing Director syarikat SongketMail Sdn Bhd. Beliau juga adalah antara pengasas Malaysian Open Source Conference. Iaitu sebuah acara persidangan Sumber Terbuka di Malaysia, yang mengetengahkan nama-nama besar dalam industri sama ada dari luar negara, tempatan dan juga agensi kerajaan.

Berikut 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada Tuan Harisfazillah Jamel.

#1 – Secara formal anda bukan dilatih dalam bidang IT, apa yang boleh dikongsikan dan apa umum perlu tahu tentang anda?

Secara umum saya dari bidang Sains Sastera, belajar akaun dan sejarah. Minat pada awalnya ke arah akaun, malah pekerjaan pertama saya selama 13 tahun adalah di sebuah bank tempatan. Ketika bekerja di bank tersebut, saya ditawarkan untuk menyertai Pusat Data Komputer. Oleh kerana, dahulu ketika zaman sekolah, pernah menyertai kelab komputer, tidaklah berasa kekok sangat. Awal 90an memang tidak ramai yang ambil kursus komputer. Kiranya saya bernasib baik mendapat peluang tersebut.

Saya bersetuju menyertai Pusat Data Komputer kerana ketika itu teknologi komputer masih baru dalam industri bank. Ia sedikit-sedikit mula berkembang dan digunakan dalam urusan harian. Ini adalah pengalaman kerja yang mahal dan tidak ternilai bagi saya.

Ketika itu, tidak terfikir untuk memilih kerja. Asalkan kerja sesuai dengan pengetahuan, saya ambil. Yang penting pada masa itu adalah untuk bekerja, dan juga mendapatkan pengalaman. Menghadiri lebih sepuluh kali temuduga, membuatkan saya semakin yakin dan bertambah pengalaman setiap kali dipanggil untuk menghadiri temuduga yang baru. Sebab itulah saya selalu berulang kali berkata, jika ada yang tidak usahakan kerja, Jangan berhenti dengan mengisi borang, keluar bertanya dan dapatkan sesi temuduga dalam apa jua pekerjaan. Kerana itulah cara untuk kita membina keyakinan. Dan tanpa dijangka kerja yang saya pilih menjadi kerjaya bukanlah dalam bidang yang saya belajar.

Selama 13 tahun dalam ICT bank adalah satu tempoh yang agak lama. Ya benar tiada wang kertas atau siling logam yang saya pegang selama itu. Ianya hanya papan kunci dan layar komputer hijau biru kehidupan. Operasi Komputer dan sokongan ICT adalah kehidupan saya. Pager perlu bersedia 24 jam setiap dua minggu adalah menjadi kebiasaan. Telah menjadi tabiat untuk menjawab setiap panggilan sokongan. Sehingga kini, mana-mana sahabat yang kenal rapat saya, akan tahu saya sedia untuk menjawab panggilan pukul berapa pun jika ada persoalan ICT dan isu-isu besar melanda mereka. Saya akan membantu mana yang terdaya. Dan jika saya tidak mengantuk.

Selepas 25 tahun, saya putuskan untuk bekerja sendiri, menjadi Freelancer. Oleh kerana di Malaysia memerlukan kita untuk mendaftarkan perniagaan bagi memudahkan urusan dengan agensi kerajaan. Saya menubuhkan SongketMail Sdn Bhd dengan seorang sahabat sebagai rakan kongsi. Ya betul, ia hanyalah two men show company, syarikat kecil dan memang terasa kurangnya ilmu perniagaan. Ia adalah pengalaman dan pelajaran baru untuk saya.

Ia akan mengambil masa untuk menjadikan SongketMail syarikat yang kuat. Namun saya impikan ianya bersifat seperti komuniti sumber terbuka. Bersama-sama dengan syarikat-syarikat lain membina dunia sumber terbuka dalam ICT Malaysia, bergotong royong dalam menyelesaikan isu-isu semasa ICT Malaysia dan membuat untung dan berkongsi rezeki. Saya sedar, ia adalah sesuatu yang mustahil dalam dunia bisnes yang tamak dan “dogs eat dogs” ini. Namun mengapa tidak? Mengapa kita tidak boleh mendapat untung dengan usaha seperti komuniti. Kita pulang balik kepada komuniti dengan membina industri yang besar dan maju dengan sumber terbuka.

#2 – Mengapa Sumber Terbuka? adakah kerana ia mudah untuk dipelopori oleh individu seperti anda?

Mungkin ya, mungkin tidak. Saya tertarik dengan Sumber Terbuka kerana komunitinya. Komuniti Sumber Terbuka bergerak secara sukarela. Sukarela dalam membina perisian yang dilakukan secara bersama, secara gotong royong. Yang unik dan istimewa ianya dilakukan secara atas talian, secara maya melalui Internet. Tugasan pembangunan bukan sahaja membuat koding, sumbangan diberikan dalam pelbagai bentuk. Perancangan, penyediaan dokumentasi, uji lari penerimaan dan pemeriksaan kualiti adalah dilakukan secara sukarela dan gotong royong. Setiap sumbangan kerja dibuat mengikut kemampuan dan masa setiap penyumbang. Dan ia dilakukan dengan penuh minat dan tiada paksaan.

Sebenarnya, untuk terlibat dengan komuniti sumber terbuka tidaklah susah. Bermula dengan membaca dokumentasi yang sedia ada di laman web rasmi perisian, ruang komen GIT yang banyak memberikan petunjuk dan penyelesaian, ruang forum untuk bercerita apa jua masalah dengan perisian. Setiap soalan, lambat atau sekejap pasti akan ada yang menjawab soalan tersebut. Melainkan komuniti atau perisian sumber terbuka tersebut sudah tidak aktif.

#3 – Pengalaman pahit dan manis anda dalam industri ICT?

Dalam industri ini, yang pahit itu jugalah yang manis, itu hakikat dalam dunia ICT. Kita sentiasa dikatakan penghabis duit, cost center. Return of Investment (ROI) tidak nampak atau tiada untungnya. Kerja menghabis duit sahaja. Pahit hendak ditelan apabila bajet atau dana ditolak atau dikecilkan. Namun yang pahit ditulis tadi, menjadi manis kerana kesan memandang negatif itu membuat khidmat ICT menurun dan ia membuatkan sumbangan berkualiti berkurangan. Kesan itulah akhirnya terkesan kepada organisasi atau perniagaan.

Barulah tersedar pengurusan atas kepentingan ICT. Barulah kalut mengeluarkan bajet dan duit untuk pelaburan ICT. Disini kita perlu berhati-hati juga, kerana ada yang menjual indah khabar daripada rupa. Sebab itulah saya sukakan sumber terbuka dalam penyelesaian ICT. Ianya membantu dalam menilai. Proses pembangunan, kod pembangunan, dokumen yang ada dan forum dan komen yang terbuka membolehkan kita menilai perisian sumber terbuka yang akan kita pilih.

#4 – Ramai beranggapan pengguna Sumber Terbuka adalah pengguna murahan, adakah anda bersetuju?

Saya tidak bersetuju dengan anggapan tersebut. Anggapan begitu menyebabkan hasilnya murah. You pay peanuts, you get monkeys, you pay with gold you get money. Yang bebas dan percuma hanyalah kepada perlesenan Sumber Terbuka. Pembinaan perisian sumber terbuka masih mempunyai kos. Tetapi kos itu ditampung oleh komuniti secara sukarela. Ia ada hadnya. Had yang tidak boleh disalah guna atau dipergunakan. Pengguna-pengguna perlulah menyumbang semula, terutama syarikat-syarikat yang menggunakan sumber terbuka untuk membuat keuntungan, ia boleh dalam pelbagai bentuk atau dalam bentuk kewangan yang diperlukan.

Sumbangan secara sukarela inilah Emas. Sumbangan yang tidak ternilai. Kerana itu pengguna perisian terbuka adalah pengguna perisian yang mahal dan berkualiti. Syarikat-syarikat besar seperti Google, Facebook dan RedHat menjadikan perisian sumber terbuka sebagai perisian utama dalam membina perniagaan mereka. Syarikat-syarikat yang membina perniagaan berbilion dolar dan membuat keuntungan dengan sumber terbuka, turut juga menyumbang semula dibuat dalam bentuk kewangan, tenaga kerja dan pelbagai.

#5 – Antara tips yang boleh diberikan kepada mereka yang ingin menyumbang dalam industri Sumber Terbuka?

Untuk menyumbang, ia perlulah dilakukan secara sukarela. Sertailah pelbagai grup sumber terbuka yang ada dalam Internet. Dan setiap grup tertumpu kepada pelbagai perisian-perisian sumber terbuka. Contohnya ada kumpulan untuk sistem operasi, koding dan juga perbincangan umum. Meramaikan acara-acara anjuran komuniti juga adalah satu bentuk sumbangan kepada komuniti. Malaysia Open Source Conference adalah acara tahunan, dan acara sesi teh tarik untuk komuniti sumber terbuka Malaysia. Setiap Oktober kita akan berkumpul.

Sumbangan yang tidak memerlukan pengetahuan koding adalah terjemahan bahasa perisian ke Bahasa Melayu. Kita agak ketinggalan dengan negara jiran, Indonesia. Sumbangan ini penting untuk memastikan Malaysia berada dalam industri Sumber Terbuka ini.

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


Website: MOSC


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen