Borak Tepi bersama Ahmad Fikrizaman, CTO RunCloud

Ahmad Fikrizaman

Pengasas teknikal adalah salah satu peranan utama dalam sesebuah syarikat. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab bagi semua proses berkaitan teknologi. Dalam sebuah syarikat permulaan atau startup, peranan ini sangat penting dalam merealisasikan produk yang akan dibina dan memastikan kesinambungan proses seterusnya.

RunCloud.io adalah sebuah platform Software as a Service (SaaS) yang menawarkan panel kawalan ke atas server Linux. Direka untuk memudahkan pembangun aplikasi web, bermula dari proses pembangunan sehingga meletakkan aplikasi yang dibina diatas talian.

Berikut adalah 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada Ahmad Fikrizaman, Ketua Pegawai Teknologi dan juga salah seorang pengasas bersama.

#1 – Anda dikenali dengan nama Jebat, apa yang umum perlu tahu bagaimana anda bermula sebagai CTO

Secara jujur, saya adalah seorang yang private. Saya lebih selesa jika umum hanya mengetahui berkenaan dengan aktiviti teknikal sahaja.

Sekitar tahun 2012, saya menawarkan servis VPN dengan nama MyTunnel. Servis ini hanya bertahan selama setahun setelah mempunyai lebih kurang 13 ribu pengguna, dengan hasil pulangan yang agak lumayan. Servis ini terpaksa ditutup berikutan pengguna hanya berminat untuk bypass quota penggunaan bandwith yang syarikat telekomunikasi hadkan. Ini adalah aktiviti yang tidak sihat dan berisiko kepada saya dari segi undang-undang jika servis ini diteruskan.

MyTunnel.me
MyTunnel.me

Sekitar tahun ini juga saya mula menyertai Sejuk Studio bersama Arif Tukiman, dan kemudian Cool Code Sdn Bhd. Aktiviti lebih banyak tertumpu kepada pembangunan yang melibatkan website, aplikasi web dan mobile game. Oleh kerana banyak melakukan konfigurasi server untuk pelanggan, dan proses yang dilakukan berulang kali. Saya mendapat idea untuk membangunkan panel hosting yang mempunyai konfigurasi khas tersendiri. Oleh itu lahirlah Web Hosting Panel atau singkatnnya WHoP.

RunCloud.io adalah kesinambungan dari WHoP dengan senibina yang telah dirombak dan bersesuaian dengan kehendak umum. Setelah RunCloud Sdn Bhd didaftarkan, bermulalah perjalanan saya sebagai CTO RunCloud.

#2 – Apa cabaran yang anda hadapi sebagai orang teknikal

Dalam usia ini, saya sedar pendedahan dan pengalaman sangat penting untuk memajukan diri. Banyak perkara baru yang perlu saya pelajari. Sedikit sebanyak ia memberi tekanan, lebih lagi RunCloud sudah mula dikenali di peringkat antarabangsa.

Ketika awal dahulu, RunCloud dibangunkan menggunakan bahasa aturcara PHP dan Nodejs. Ia bukanlah solusi yang selesa. Apabila sudah mula berkembang dan mempunyai banyak fungsi, ia perlu ditukar dengan menggunakan bahasa aturcara yang lebih sesuai untuk mencakupi proses yang berat. Oleh kerana sudah tak boleh “go”, saya guna “go” programming language.

Selain itu, membantu CEO merealisasikan perancangan syarikat juga adalah satu cabaran. Perlu memahami dan meletakkan keutamaan proses mana yang perlu dilakukan dahulu. Dan memberikan input supaya mudah beliau membuat keputusan.

#3 – Jika diberi pilihan, anda mahu kekal sebagai orang teknikal atau bisnes?

Saya lebih selesa kekal sebagai orang teknikal. Ada beberapa sebab mengapa saya memilih pilihan tersebut. Antaranya, ia lebih memberikan kepuasan kepada saya, memandangkan saya bukanlah orang yang mahir berbahasa manis yang disukai ramai. Saya mahu dilihat sebagai pencipta perisian, dan lebih suka menguruskan hal-hal berkaitan teknikal berbanding perniagaan.

#4 – Tips yang anda boleh berikan kepada orang teknikal diluar sana

Tips ini hasil dari pengalaman saya sendiri, mungkin ia berguna untuk mereka yang memerlukan.

1 – Ambil peluang untuk tambah ilmu dan pengalaman. Sertai seminar atau program yang dianjurkan oleh mana-mana organisasi seperti JomLaunch, anda akan perolehi pendedahan dari pengalaman yang sebenar.

2 – Perlu ada keyakinan diri yang tinggi. Tidak perlu fikirkan sangat apa orang lain hendak kata.

3 – Mahirkan diri berkomunikasi dan berunding. Kita mahir dan cekap dalam hal teknikal sekalipun, jika tidak mampu berkomunikasi dan berunding dengan baik akan selalu diperlekehkan dan ramai yang akan ambil kesempatan dengan kemahiran yang kita ada.

4 – Gunakan masa sehabis baik. Semua orang mempunyai masa yang sama 24 jam sehari. Kita perlu seimbangkan masa dan jalani hidup secara sihat.

5 – Tidak perlu show-off. Tidak perlu terlalu hendak menunjukkan kehebatan yang kita ada. Jika kita dilihat hebat, biarlah dari hasil kerja yang dinilai oleh orang lain.

Sejuk Studio
Sejuk Studio

#5 – Apa harapan anda untuk diri sendiri dan syarikat?

Antara harapan saya jika ada kesempatan dan perancangan dipermudahkan:

1 – Mampu memulakan sesuatu yang baharu sebelum mencapai umur 40 tahun. Bahasa mudah, pencen.

2 – Menjelajah negara luar, melihat pembangunan dan mendapatkan idea yang boleh dibawa dan diperkenalkan dalam Malaysia.

3 – Melihat RunCloud diapungkan dalam pasaran saham.

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


Website: RunCloud.io
Featured Image: Kamarool Karim


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen