Bagaimana iPhone Membunuh Nokia dan Memulakan Era Telefon Pintar

Bagaimana iPhone Membunuh Nokia dan Memulakan Era Telefon Pintar

Nokia merupakan salah satu syarikat gergasi telekomunikasi yang pernah mendominasi pasaran telefon bimbit sebelum era telefon pintar muncul. Hari ini, ramai orang mengenali Nokia melalui model telefon Nokia 3310 yang diagungkan sebagai telefon bimbit paling tahan lasak di dunia.

Zaman Kegemilangan Nokia

Tidak dinafikan, Nokia menghasilkan telefon bimbit yang bermutu tinggi dan tahan lasak untuk kegunaan harian. Kualiti ini menyebabkan produk Nokia menjadi kegilaan ramai di serata dunia. Melebihi produk saingan Nokia pada masa tersebut seperti Motorola dan Ericsson. Bahkan dalam rekod jualan model telefon bimbit pertama Nokia, Nokia 2100, ia mencatat jualan melebihi 20 juta unit meskipun anggaran asal jualan hanya sebanyak 400 ribu unit.

Migrasi Telefon Pintar

Malang sekali, zaman kegemilangan telefon bimbit berakhir apabila Steve Jobs, pengasas Apple, memperkenalkan teknologi telefon pintar yang dipanggil iPhone. Pengguna telefon mula tertarik dengan rekabentuk telefon pintar yang lebih mesra pengguna dan kelihatan futuristik. Hasilnya, permintaan terhadap telefon pintar semakin meningkat sekaligus menyingkirkan Nokia daripada gelaran ‘Raja Telefon’.

Nokia cuba memasuki pasaran telefon pintar setelah kejayaan iPhone menarik minat pengguna, tetapi sambutan yang diterima tidak begitu menggalakkan. Ini kerana fungsi yang ditawarkan oleh Nokia tidak mencapai tahap kepuasan seperti yang ditawarkan oleh iPhone dan pengeluar telefon pintar yang lain.

Sesetengah pihak juga bersetuju bahwa telefon pintar Nokia kurang mendapat sambutan kerana terlampau lambat memasuki pasaran.

Kemunculan IOS dan Android

Untuk menambah garam dan limau purut ke atas luka parah Nokia, sistem operasi telefon pintar seperti IOS dan Android mula menjadi kayu ukur kualiti telefon pintar. Bagi mengatasi masalah ini, Nokia bekerjasama dengan Microsoft untuk menghasilkan sistem operasi yang lebih berkualiti tetapi kegagalan sistem operasi Microsft menyaingi IOS dan Android menyebabkan produk telefon pintar Nokia terus diketepikan.

Kesannya, Microsoft dan Nokia mengalami kerugian besar sekaligus memberi impak kepada syarikat Nokia yang semakin tenat. Syarikat Nokia akhirnya diserap masuk ke dalam Microsoft dan segala infrastruktur Nokia terus digubah mengikut konsep kerja Microsoft.

Hari ini, Nokia menfokuskan pada industri rangkaian telekomunikasi 5G sebagai perniagaan utama. Nokia juga masih mendapat pendapatan hasil kajian yang telah dipatenkan melebihi ratusan unit. Dalam masa yang sama, Nokia masih mengeluarkan telefon termasuklah beberapa model ikonik telefon bimbit yang telah diperbaharui dari segi sistem operasi.

Punca Kegagalan Nokia

Jikalau dilihat, Nokia sebenarnya boleh menyaingi iPhone dan kekal sebagai pemegang besar pasaran telefon pada hari ini. Akan tetapi, sikap ego pihak atasan Nokia telah menyebabkan syarikat gergasi ini hampir gulung tikar.

Kenapa? Ini kerana, sebelum iPhone dilancarkan, Nokia telah ditawarkan konsep telefon pintar terlebih dahulu tetapi ditolak mentah-mentah oleh CEO Nokia dengan alasan ia tidak relevan pada orang bekerja. Kegagalan ini menjadi semakin parah apabila Nokia menolak pula tawaran kerjasama dengan Android yang sedang membangun pada ketika itu.

Sekiranya Nokia tidak menolak salah satu daripada tawaran perubahan tersebut, pasti Nokia tidak jadi seperti sekarang.

 


Featured Image: Business photo created by senivpetro – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen