4 Cara Mudah Mulakan Bisnes Modal Kecil

Pernahkah anda kaji, berapakah modal yang sepatutnya dilaburkan untuk memulakan bisnes secara kecil-kecilan?. Mesti ada diantara kita yang pernah mendengar perkongsian daripada mentor-mentor bisnes bahawa RM500 juga sudah cukup untuk melakukan sesuatu bisnes, RM500 ? Ya, dengan sejumlah itu sudah mencukupi untuk memulakannya. Jadi, bagaimana untuk memulakannya?.

#1 – Impian besar

Dalam perniagaan, antara perkara yang paling penting adalah cita-cita dan impian. Apakah yang ingin dicapai dalam perniagaan. Itu yang akan menentukan tindakan kita selanjutnya dalam perniagaan. Impian haruslah besar dan logik untuk dicapai dalam satu jangka masa tertentu. Contohnya, pada hari ini anda mempunyai wang sebanyak RM500 untuk memulakan perniagaan karipap sejuk beku. Walaupun pada peringkat awal hanya menjalankan secara consignment di kedai-kedai runcit, tetapi anda perlu berimpian pada suatu hari nanti anda akan memiliki fasiliti pembuatan karipap terbesar di Malaysia, contohnya. Begitu juga dengan bisnes-bisnes lain, impian besar adalah atu perkara wajib yang ada dalam diri usahawan.

#2 – Mula secara kecil-kecilan

Untuk setiap bisnes yang ingin dijalankan dan mempunyai modal yang terhad, haruslah mulakan secara kecil-kecilan dahulu. Sebagai contoh, jika ingin terlibat dalam rantaian pembekalan ayam di Malaysia, bolehlah mulakan dahulu sebagai penjual ayam secara kecil-kecilan. Kenapa harus mulakan sebegini, rasionalnya adalah senang sahaja. Harus diingat, fasa permulaan memulakan perniagaan adalah untuk menerokai dan memahami selok belok sesuatu perniagaan itu. Sukar untuk anda berjaya dalam sesuatu perniagaan itu jika tidak benar-benar memahami perniagaan itu. Selain itu, kenapa harus mula kecil-kecilan adalah untuk mengurangkan risiko. Dalam permulaan yang kecil, modal yang dilaburkan juga adalah kecil. Maka, risiko yang ditanggung juga adalah kecil untuk proses pembelajaran dalam dunia perniagaan.

#3 – Pengesahan pasaran

Kenapa harus gunakan modal sedikit dan secara kecil-kecilan di peringkat awal jika anda mempunyai modal yang terhad?. Antara sebabnya adalah untuk mengenalpasti penerimaan pasaran terhadap produk ataupun servis yang anda ingin tawarkan. Walaupun model perniagaan tersebut terbukti berkesan di tempat lain, belum tentu ianya akan memberikan kesan yang sama di tempat anda. Oleh itu, pegenalpastian dan pengesahan pasaran adalah sangat penting dalam memulakan sesuatu perniagaan. Malah, syarikat-syarikat besar juga mengamalkan aktiviti pengesahan pasaran sebelum menjalankan sesuatu produk baru secara besar-besaran. Bukan sahaja dapat menjimatkan modal, langkah ini juga akan memberikan gambaran yang jelas tentang apa yang kita boleh lakukan dalam perniagaan pada masa hadapan.

#4 – Buat dengan pantas

Masa adalah emas. Begitulah anggapan yang perlu ada jika melakukan perniagaan. Dalam perniagaan, semua pihak yang terlibat akan berlumba-lumba untuk kehadapan kerana perkara yang semua peniaga mahukan adalah pelanggan yang membeli produk ataupun servis mereka. Jangan bertangguh dalam berbuat sesuatu. Perancangan adalah perlu dan segerakan pelaksanaan jika sudah yakin. Buat sesuatu dengan pantas tetapi jangan tergopoh gapah kerana dengan mengoptimumkan penggunaan masa akan menentukan jumlah pengajaran dan ilmu yang kita dapat untuk bekalan perniagaan pada masa hadapan.

 


Featured Image: People photo created by freepik – www.freepik.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen