Gamuda Jamin Rancangan Pengambilalihan Konsesi Ikut Nilai Pasaran

Gamuda Logo

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd (Gamuda) akan memastikan rancangan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya seperti yang dicadangkan kerajaan, dibuat berdasarkan norma dan amalan penilaian pasaran.

Dalam maklumannya di Bursa Malaysia hari ini syarikat kejuruteraan dan pembinaan terkemuka itu berkata, ia sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan berkaitan cadangan pengambilalihan itu.

“Memandangkan Lembaga Pengarah mempunyai tanggungjawab fidusiari terhadap syarikat untuk memberikan penilaian yang adil dan munasabah kepada semua pemegang saham, Gamuda harus memastikan urus niaga yang dicadangkan itu dibuat berdasarkan norma dan penilaian pasaran.

“Gamuda akan membuat pengumuman mengenai perkara itu sebaik sahaja terdapat perkembangan terbaharu mengenainya,” katanya.

Kerajaan minggu lalu mengumumkan telah memulakan rundingan bersama Gamuda bagi tujuan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya dengan pegangan majoritinya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda untuk mengambil alih konsesi lebuh raya kendaliannya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisme kutipan tol.

Sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari, manakala waktu luar puncak antara jam 11 malam hingga 5 pagi, tol adalah percuma.

Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.

Hasil kutipan caj kesesakan akan diguna pakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman.

Manakala, lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam yang kemudian akan digunakan untuk meningkat kualiti pengangkutan awam seluruh negara.

Rancangan itu dikemukakan susulan janji kerajaan Pakatan Harapan di dalam manifesto pilihan raya lalu untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat, menurut terma perjanjian konsesi.

Ini sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuh raya.

 


Sumber: Berita Harian


 

Kongsikan Artikel Ini