Ringgit Ditutup Tinggi

Ringgit Malaysia

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan minat risiko bertambah baik, susulan keputusan Presiden AS Donald Trump untuk melanjutkan tarikh akhir tarif ke atas barangan China selepas minggu ini, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0650/0700 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.0760/0810 ketika ditutup pada Jumaat.

Pada Ahad, Trump berkata beliau akan menangguhkan tarikh akhir tarif berkenaan dan bertemu rakan sejawatannya bagi memuktamadkan perjanjian perdagangan, sekiranya kemajuan seterusnya dicapai.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali pound Britain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0113/0155 daripada 3.0119/0165 pada Jumaat, serta naik berbanding euro kepada 4.6130/6203 daripada 4.6214/6287.

Mata wang tempatan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.6721/6769 daripada 3.6770/6825 namun rendah berbanding pound Britain kepada 5.3170/3240 daripada 5.3065/3135.

 


Sumber: BERNAMA


 

Kongsikan Artikel Ini