SK Port Dickson Guna Perisian GoTechUp Anjur Program Robotik untuk Murid Darjah 3 Hingga 6

Tech Up Sdn. Bhd.

Kuala Lumpur, 18 April 2023 – Tech Up Sdn. Bhd., syarikat penyedia penyelesaian pendidikan STEM, mengumumkan bahawa Sekolah Kebangsaan Port Dickson (SKPD), Negeri Sembilan telah memilih perisian simulasi robotik GoTechUp untuk program pembelajaran robotik secara maya. SKPD mula menggunakan GoTechUp pada 17 April menerusi program yang dilaksanakan setiap bulan sepanjang tahun 2023 melibatkan lebih 600 murid dari tahun 3 hingga 6. Selain program ini, SKPD akan meneruskan kolaborasi pintar dengan syarikat Tech Up dan menggunakan produk dari Tech Up dalam aktiviti Kelab Robotik yang baharu ditubuhkan di sekolah ini.

Perisian simulasi robotik GoTechUp mengetengahkan konsep pembelajaran kendiri yang membantu murid meningkatkan kemahiran dalam pengaturcaraan dan kemahiran pemikiran kritikal bermula dari peringkat awal hingga ke peringkat tertinggi.

Ainaa Rosli, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Up berkata, “Kami teruja kerana SKPD memilih perisian kami dan kita dapat perhatikan lebih ramai pendidik kini terbuka kepada kaedah pembelajaran baharu. Kami gembira apabila mendapat maklumbalas positif bahawa perisian kami dapat memberi impak yang kami sasarkan, iaitu mengurangkan rasa takut murid dan pendidik terhadap STEM dan pendigitalan. Penggunaan GoTechUp di SKPD membuktikan bahawa pendidikan STEM adalah untuk sesiapa sahaja dan bukan hanya untuk murid elit seperti yang difikirkan ramai orang.”

Sementara itu, Guru Besar SK Port Dickson, Hajah Zuraidah binti Ahmad bersemangat tinggi untuk memulakan program robotik secara maya. Beliau berkata, “Kami mula mengenali GoTechUp pada tahun lepas ketika terlibat dalam program anjuran mereka dan terus berminat dengan perisian tersebut. Bukan sahaja menjimatkan kos kerana pembelajaran boleh dilakukan secara maya tanpa robot fizikal, bahkan GoTechUp juga menjadikan pembelajaran sesuatu yang lebih menyeronokkan bagi murid-murid kita untuk dapatkan kemahiran baharu yang kritikal. Faktor ini memenuhi keperluan kami ketika kami cuba mempersiapkan generasi muda untuk dunia digitalisasi yang akan ditadbir mereka pada masa akan datang.”

GoTechUp menampilkan antaramuka yang mesra pengguna yang membantu murid-murid mempelajari subjek robotik dengan kaedah yang menyeronokkan. Selain Malaysia, perisian ini juga juga telah digunakan di Australia, Chile, China, Colombia, Perancis, Jepun, Hong Kong, Macau, Filipina, dan Korea Selatan.

“Kunci untuk menormalisasi digitalisasi dan pendidikan STEM dalam kalangan generasi muda adalah untuk mendedahkan dan menyokong pertumbuhan mereka dari usia muda. Oleh itu, kami percaya bahawa GoTechUp menyediakan murid dengan akses dan peluang yang sama rata kepada pendidikan STEM, yang mendokong cita-cita negara untuk pendigitalan. Tahun lepas, SKPD mengambil bahagian dalam program Robot-4-School kami di mana guru yang bertanggungjawab diberi kit robotik percuma dan modul pembelajaran sepanjang tahun. Hari ini, kita dapat melihat bahawa pendidik sendiri lebih yakin untuk memperjuangkan STEM dalam lingkungan pengaruh mereka,” tambah Ainaa.

Mengenai Tech Up:

Ditubuhkan pada 2018, Tech Up Sdn. Bhd. adalah penyedia penyelesaian pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Tech Up telah berkembang menjadi pembangun perisian pendidikan gamifikasi dengan perisian robotik maya utamanya, GoTechUp. Tech Up telah menjadi Hos Universal Robotic Challenge (URC) Kebangsaan sejak 2019 dan ia adalah pengedar tunggal produk robotik Artec Co, Ltd. yang berpangkalan di Jepun. Lawati www.techup.com.my.

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen