Idea matawang digital bukanlah sesuatu yang baru. Banyak jenis matawang digital telah cuba dibina sebelum konsep matawang kripto menjadi pilihan popular. Tetapi, apakah itu matawang kripto?.
Apa itu matawang kripto?
Secara ringkasnya, matawang kripto bermaksud sistem kod yang sangat kompleks di mana ia melindungi penghantaran data sensitif untuk menjamin keselamatan transaksi. Sistem ini direka dengan konsep matematik yang tinggi dan kejuruteraan komputeran supaya ia sukar untuk dipecahkan, samada untuk membuat duplikasi atau memalsukan matawang tersebut. Matawang kripto mempunyai beberapa ciri:
#1 – Kawalan tidak berpusat
Berbeza dengan matawang kertas yang diselia oleh kerajaan, matawang kripto diselia oleh pelbagai pihak sekaligus menjadikannya sukar untuk mengawal nilai matawang.
#2 – Boleh ditukar dengan matawang kertas
Sama seperti matawang kertas yang mempunyai nilai berdasarkan keperluan, matawang kripto juga boleh ditukar ganti dengan matawang kertas.
#3 – Sumber terhad
Kebanyakan matawang kripto bersifat terhad, hanya mempunyai jumlah tertentu. Berbeza dengan wang kertas yang boleh dicetak tanpa had dan boleh mengakibatkan inflasi.
#4 – Sukar dikawal oleh satu organisasi
Tidak seperti matawang kertas, matawang kripto tidak boleh dikawal dengan mudah. Sebagai contoh, bank boleh membekukan aset tetapi perkara sama tidak boleh dilakukan pada matawang kripto.
Kelahiran Bitcoin matawang kripto pertama
31 Oktober 2008:
Satoshi Nakamoto menerbitkan kertas putih yang dikenali sebagai Bitcoin. Sistem Bayaran Elektronik Teman ke Teman, ia menerangkan bagaimana rangkaian Bitcoin berfungsi.
3 Januari 2009:
Satoshi Nakamoto, insan yang tak diketahui identitinya hingga ke hari ini telah “melombong” blok pertama untuk rangkaian Bitcoin. Blok pertama ini dikenali sebagai Blok Genesis.
22 Mei 2010:
Rekod pembelian pertama menggunakan Bitcoin tercipta apabila Laszlo Hanyecz membeli 2 set piza dengan harga 10,000 BTC yang bernilai RM334 juta ada tahun 2019. Hingga kini, ia dikenali sebagai Bitcoin Pizza Day.
Permulaan pasaran matawang kripto
2010:
Penukaran matawang kripto pertama berlaku pada bulan Mac di bitcoinmarket.com (sudah tidak aktif). Pada bulan Julai pusat penukaran kripto yang dikenali sebagai Mt. Gox telah dilancarkan di Jepun.
2011-2013:
Bitcoin berjaya mencapai keseimbangan dengan matawang US Dollar pada bulan Februari. Pada tahun tersebut juga, pelbagai jenis matawang kripto muncul sekaligus menimbulkan persaingan antaranya Ethereum, Litecoin dan Zcash.
Malapetaka Bitcoin oleh Mt. Gox
2011:
Mt. Gox digodam untuk kali pertama pada bulan Jun dan 2,000 BTC telah dicuri, ia dianggarkan bernilai USD30,000 bersamaan RM125,000 pada waktu tersebut.
2013:
Mt. Gox menjadi transaksi matawang kripto terbesar dalam sejarah, ia menyelia 70% transaksi Bitcoin pada waktu puncaknya.
2014-2016:
Pada bulan Februari 2014, Mt. Gox telah digodam secara besar-besaran dalam transaksi matawang kripto, sebanyak 850,000 BTC telah dicuri. Kejadian ini merupakan kes kecurian terbesar dalam sejarah Bitcoin, di mana ia bernilai hampir USD3 billion USD (RM12 billion). Harga Bitcoin merosot sebanyak 50% dan tidak berjaya naik ke harga permulaanya sehinggalah hujung tahun 2016.
Tahun-tahun seterusnya
Dunia matawang kripto kekal tidak stabil sejak dari tahun kejatuhannya. Harga matawang kripto naik mencanak pada permulaan Januari 2018 dan pelbagai jenis matawang kripto diperkenalkan. Setakat ini, pasaran matawang kripto telah menyelia lebih 2000 matawang digital dan ia semakin bertambah dari hari ke hari.
Di negara dunia pertama, aset kripto semakin meraih populariti sehinggakan ia mencapai satu tahap adaptasi kepada dunia fizikal. ATM Bitcoin telah bertambah dan semakin banyak kedai dan servis mula menerima matawang kripto sebagai bayaran alternatif.
Rumusan
Dengan matawang kripto, anda boleh “menjadi bank anda sendiri” kerana hanya anda seorang yang menyelia matawang tersebut. Anda tak perlukan pihak ketiga untuk melakukannya dan ia jauh lebih selamat dan dipercayai dari segi teori untuk menjaga nilai matawang anda.
Featured Image: Money photo created by freepik – www.freepik.com