PKS: Perlu Penuhi Kriteria Produk

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUBANG PASU, 21 Sept — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menghasilkan produk yang dapat memenuhi kriteria pasar raya berjenama antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka perlu tampil dengan produk yang berkualiti, unik dan kuantiti mencukupi serta pembungkusan menarik bagi membolehkan produk itu memasuki pasar raya berjenama antarabangsa sedia ada di negara ini.

“Pasar raya berjenama antarabangsa seperti Aeon dan Tesco ini mempunyai reputasi antarabangsa yang amat tinggi dan polisi sendiri. Masing-masing sangat teliti dengan produk yang mahu memasuki pasar raya mereka sebab itu beberapa parameter perlu dipenuhi oleh setiap PKS.

“PKS juga kena pastikan bekalan produk mereka mencukupi. Kalau ada permintaan 10,000 tetapi penghasilan mereka terbatas, itu juga akan menyebabkan produk mereka sukar memasuki pasar raya besar yang mempunyai banyak cawangan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Beli Barangan Malaysia peringkat negeri yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok di Tasik Darul Aman, Jitra dekat sini hari ini yang turut disertai 80 usahawan dan pengusaha produk tempatan.

Saifuddin Nasution berkata sekiranya terdapat kekurangan di peringkat PKS, pihaknya akan memberi tunjuk ajar kepada pengusaha PKS selain membantu memastikan produk itu berjaya memasuki pasar raya berkenaan.

Setakat ini 10 produk PKS telah dipilih dan dimasukkan Syarikat Penerbangan AirAsia ke dalam ‘inflight menu’.

— BERNAMA

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen