KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) — Funding Societies Malaysia, platform pembiayaan rakan setara (P2P) digital terbesar di Malaysia, menjalin kerjasama dengan Lazada Malaysia untuk menawarkan pembiayaan jangka pendek, pembiayaan e-dagang, khusus untuk peniaga di platform Lazada.
Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata P2P merupakan pilihan pembiayaan alternatif yang kian mendapat tarikan tinggi sejak beberapa tahun lalu.
Katanya ia dapat membantu mengurangkan jurang pembiayaan dengan menyediakan alternatif sumber modal yang menarik bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk membiayai pengembangan perniagaan dan memenuhi keperluan kewangan yang lain.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Wong Kah Meng berkata pihaknya memahami kesulitan yang dihadapi peniaga platform e-dagang dalam mendapatkan pembiayaan untuk membina perniagaan dalam talian mereka apabila mereka sering diabaikan oleh institusi kewangan tradisional.
“Oleh itu, kerjasama kami dengan Lazada akan membolehkan peniaga mendapat akses pembiayaan dengan lebih mudah melalui platform Lazada.
“Ini dipermudahkan dengan penggunaan data alternatif daripada Lazada dengan persetujuan, sebagai sebahagian daripada proses penilaian risiko kami.
“Sebagai antara tonggak ekonomi yang kian menonjol, pembiayaan P2P akan membolehkan pertumbuhan industri yang lebih pesat dan seterusnya menyumbang kepada ekosistem e-dagang yang lebih kukuh,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Leo Chow berkata PKS mempunyai peranan penting dalam membangunkan ekonomi Malaysia dan syarikat berada dalam kedudukan yang tepat untuk memacu kejayaan mereka.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk mewujudkan ekosistem e-dagang yang sihat dan mampan, kami kini lebih mengurangkan halangan peniaga untuk membina jenama mereka di Lazada.
“Dengan menyediakan pembiayaan perniagaan melalui kerjasama dengan Funding Societies, ini akan lebih meningkatkan nilai penyelesaian menyeluruh kami termasuk keupayaan logistik, teknologi dan rangkaian pembeli yang meluas,” katanya.
Funding Societies menghubungkan PKS tempatan dengan individu dan pelabur institusi melalui pasaran digital dan akan meningkatkan akses pembiayaan sektor PKS. Ia juga telah menerima lebih 500 permohonan dalam masa tiga hari pelancaran dan jumlah itu dijangka meningkat.
Sumber: BERNAMA