Borak Tepi bersama Rozalin Bokari, Usahawan Katering

Borak Tepi bersama Rozalin Bokari, Usahawan Katering

Sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan jika mempunyai pengetahuan dan semangat yang tidak kenal putus asa. Sentiasa mencari peluang dan mempelbagaikan sumber pendapatan bisnes antara keputusan yang perlu difikirkan secara serius.

Memulakan perniagaan katering setelah lebih sepuluh tahun bekerja dalam sektor swasta, adalah satu keputusan yang nekad. Beliau menubuhkan Robo Resources, iaitu sebuah perniagaan yang menjalankan aktiviti penyediaan makanan dan katering.

Mempunyai Central Kitchen bagi melancarkan operasi dan juga berpengalaman mengendalikan beberapa kantin di sektor perkilangan, pembinaan dan juga di Institusi Pengajian Awam, membuktikan servis yang ditawarkan bersifat profesional dan diyakini.

Berikut 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada Tuan Rozalin Bokari, pemilik Robo Resources.

#1 – Siapa anda yang umum perlu tahu?

Saya bukanlah seorang yg pandai masak atau suka masak. Tetapi, saya suka makan dan suka mengkritik masakan orang. Saya menyukai tempat yang memberikan servis terbaik dan masakan yang sedap. Atas sebab itu, saya mahu menyediakan sesuatu yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan saya seperti mana apa yang saya inginkan.

Robo Resources

#2 – Mengapa katering? Mengapa tidak bisnes lain?

Pada tahun 2015, selepas saya mengambil VSS dari sebuah syarikat Oil & Gas. Saya melihat peluang yang ada ketika itu adalah bisnes katering. Saya mempunyai ramai kenalan dalam bidang ini, dan boleh dijadikan rujukan dan mendapatkan pandangan tentang bisnes ini.

Rakan kongsi saya seorang yang sangat mahir dalam bidang masakan. Saya pula lebih kepada seorang people-person. Jadi, kami bergabung di mana tugas dibahagikan kepada dua. Saya menjaga bahagian depan, rakan kongsi menjaga bahagian belakang.

Dengan kata lain, bahagian dapur, hal-hal menu, memasak dan menyediakan makanan saya serahkan padanya. Untuk urusan pentadbiran, pemasaran dan kewangan saya yang bertanggungjawab menguruskan.

#3 – Bisnes makanan, orang melayu suka dengki. Apa pandangan anda tentang perkara ini?

Ini tidak dapat dinafikan. Tetapi, selagi kita yakin dan percaya bahawa rezeki itu dari Allah Yang Maha Pemberi Rezeki. InsyaAllah, walaupun ada yang menaruh dengki macam mana sekalipun, selagi kita berusaha dan mencari peluang, rezeki kita pasti ada.

#4 – Sepanjang berniaga, antara pencapaian yang boleh dibanggakan?

Kami bermula dengan modal dan perniagaan yang kecil. Alhamdulillah, pada penghujung tahun 2017 kami memperolehi kontrak yang agak besar, iaitu menyedia dan membekalkan makanan berbungkus (packed food) untuk pekerja-pekerja pembinaan di projek RAPID PETRONAS di Pengerang, Johor. Kami membekal untuk lebih kurang 1200 orang pekerja, bungkusan untuk 3 kali makan setiap hari. Iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. RAPID PETRONAS merupakan projek mega bertaraf internasional dan ini adalah satu pencapaian yang sangat kami banggakan kerana terlibat secara langsung.

#5 – Tips mudah buat mereka yang ingin memulakan bisnes katering?

Tips-tips berdasarkan pengalaman sendiri, sepanjang menjalankan bisnes ini:

1 – Mental dan fizikal harus kental, kerana banyak cabaran akan kita hadapi.

2 – Perlu ramai kenalan (contact) untuk meluaskan pemasaran.

3 – Paling penting, masakan perlu ikhlas dari hati.

4 – Selain masakan tradisional melayu, pengetahuan perlu up-to-date mengenai menu atau trend masakan terkini atau yang menjadi kesukaan masyarakat moden.

5 – Perlu ada 3 perkara ini: CEPAT, MURAH dan SEDAP. Tetapi, kualiti harus tetap diutamakan.

6 – Pastikan tukang masak adalah orang yang betul-betul pandai masak. Bukan hanya yang boleh masak. Ada perbezaan antara PANDAI MASAK dan BOLEH MASAK.

Robo Resources

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


E-Mel: [email protected]
Telefon: +60133291387


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen