Borak Tepi bersama Mohd Hafiz Safie, CEO Sparadise

Borak Tepi bersama Mohd Hafiz Safie, CEO Sparadise

Seiring dengan peneriaan pertumbuhan ekonomi masa kini, kebanyakan perniagaan tradisional perlu mengubah corak pemasaran dan perkhidmatan kepada pelanggan.

Perkhidmatan yang pantas dan mudah diperolehi adalah perlumbaan yang perlu dimenangi oleh usahawan zaman digital. Ini tidak terkecuali buat perniagaan butik kecantikan seperti spa.

Sparadise sebuah startup yang menawarkan servis berkaitan penjagaan diri dan kecantikan yang ditawarkan terus ke premis dan tempat kediaman anda. Atau dimana sahaja anda berada selagi berada dalam lingkungan kawasan yang ditawarkan.

Berikut 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada Tuan Mohd Hafiz Safie, CEO dan pengasas Sparadise Digital Sdn Bhd. 

#1 – Apa tujuan utama Sparadise?

Tujuannya sama seperti perniagaan yang lain, membantu pelanggan seperti anda mendapatkan servis yang terbaik, selamat dan berkualiti. Disamping itu menawarkan peluang perniagaan kepada mereka-mereka yang terlibat dengan salun dan spa kecantikan, menjana pendapatan sebagai therapist kecantikan kami.

Sparadise menawarkan servis kecantikan yang meliputi rawatan muka, rambut, kuku kaki dan tangan dan juga henna iaitu seni inai tangan. Dimana sesiapa sahaja boleh menyertai kami jika diberikan latihan yang secukupnya, ia membuka peluang kepada pelajar dan juga suri rumah menjadi usahawan kecantikan dengan menawarkan perkhidmatan sekitar kediaman dan jiran tetangga.

#2 – Mengapa bikin startup kecantikan?

Minat manusia terhadap kecantikan ini tidak pernah luput. Begitu juga perniagaan yang berkaitan dengannya. Melalui pengalaman sendiri, saya tidak boleh memotong rambut di kedai gunting rambut yang biasa, kerana minyak yang digunakan membuatkan saya mengalami alahan yang teruk, bengkak dibahagian leher dan gatal-gatal sekitar kepala.

Oleh sebab itu, setiap kali memotong rambut, saya akan pergi ke salun yang sama. Seperti orang lain, kita akan ada pengunting rambut yang digemari. Terdetik dari situ, saya rasakan mengapa tidak dipanggil sahaja tukang gunting rambut datang terus ke rumah. Jika kita panggil sendiri, mungkin agak susah. Jika ada agensi yang boleh aturkan untuk kita, mungkin lebih mudah.

Melalui idea tersebut, saya mengasaskan Sparadise dengan dibantu oleh rakan lama sebagai rakan kongsi.

#3 – Siapa anda sebelum Sparadise? dan apa yang umum perlu tahu tentang anda?

Terdahulu, saya adalah seorang UI/UX designer. Pernah berkhidmat dengan Utusan Malaysia dan menjadi Product Lead untuk The Future Commerce Sdn Bhd yang menawarkan platform jual beli atas talian Avana.asia.

Melalui agensi-agensi kerajaan dan swasta, terlibat juga dengan program mentorship untuk usahawan belia dan tech startup. Memberikan motivasi dan tunjuk ajar buat mereka yang ingin memulakan langkah permulaan dengan betul.

#4 – Pengalaman berharga sepanjang bersama Sparadise?

Memperkenalkan Sparadise di acara luar negara dan mendapat maklum balas validasi idea yang saya tidak pernah jangka sebelum ini. Penerimaan dan pendedahan dari syarikat luar membolehkan kami merangka perancangan dan memperbaiki strategi pemasaran.

Disamping itu menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat dan agensi tempatan seperti Astro, Giat Mara, Wild Digital dan beberapa invdividu yang lain, memberikan pengalaman berharga buat saya dan tim Sparadise untuk maju kehadapan.

#5 – Sparadise untuk 5 tahun akan datang?

Spradise baru sahaja berusia setahun pada tahun ini. Untuk tahun-tahun berikutnya, kami fokus untuk memperluaskan lingkungan kawasan penawaran servis, merangkumi seluruh Malaysia, Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Dan dalam tempoh 3 dan 4 tahun, kami fokus untuk memasuki pasaran negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Brunei.

sparadise

Di samping itu, meluaskan saluran pemasaran kami supaya tidak sahaja fokus kepada therapist kecantikan, akan cuba berkolobrasi dengan penggiat seni dan juga pengeluar produk kecantikan.

Dalam tempoh 5 tahun, saya mensasarkan Sparadise mampu menjadi sebuah syarikat yang matang, bermanfaat kepada masyarakat dan menguntungkan kepada rakan kongsi dan pelabur.

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


Website: Sparadise.Asia


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen