Tokkikiter Popular Penuhi Pelbagai Citarasa

Tokkikiter Popular Penuhi Pelbagai Citarasa

Tokkikiter Enterprise, pengeluar kopi di bawah jenama Tokkikiter menyasarkan pengeluaran kopi sebanyak 500 kilogram (kg) sebulan yang dipasarkan dalam bentuk biji kopi panggang, serbuk dan uncang pada masa akan datang.

Pengurusnya, Humairah Mohd Nasir, 35, berkata, ia peningkatan 50 peratus berbanding pengeluaran kopi antara 250 hingga 300kg sebulan yang dicapai syarikat itu sekarang, berbanding 30kg ketika kopi Tokkikiter mula beroperasi enam tahun lalu.

Menurutnya, penambahan itu didorong oleh kejayaan pemasaran kopi Tokkikiter yang kini semakin meluas dan bukan terhad dalam Terengganu sahaja.

“Selain dipasarkan dalam rangkaian pasar raya dan kedai runcit di negeri ini, kopi Tokkikiter juga boleh didapati di kedai terpilih di Pahang dan beberapa negeri lain melalui ejen kita selain turut dijual melalui dalam talian.

“Sasaran kita adalah kopi Tokkikiter berada dalam pasaran di seluruh negara selain turut meneroka peluang di luar negara pula,” katanya kepada Sinar Harian di pusat pemprosesan kopi Tokkikiter di Kampung Bukit Gasing, di sini.

Humairah yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya, Mohd Mustakim Mohd Kasturi, 36, berkata, pihaknya kini juga melangkah jauh dengan kemampuan membekalkan kopi secara pukal kepada usahawan dan peniaga kedai kopi.

Selain untuk kegunaan sendiri katanya, kopi itu juga boleh dibancuh dan diolah mengikut citarasa masing-masing serta dilabelkan menggunakan jenama sendiri.

“Jadi, kami mengalu-alukan mana-mana usahawan yang ingin mendapatkan bekalan kopi atau mereka yang berhasrat mahu mengeluarkan kopi jenama sendiri,” katanya.

 


Sumber: Sinar Harian

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen