Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

RINGGIT susut daripada aliran pengukuhannya pada minggu lepas apabila ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini, ketika pelabur beralih kepada aset selamat akibat ketidaktentuan yang terus menyelubungi prospek ekonomi global, kata peniaga.

Setakat 6 petang ini, ringgit berada pada paras 4.4400/4480 berbanding 4.3947/4012 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas.

Bagaimana pun seorang peniaga berkata peningkatan yang dicatatkan oleh dolar AS adalah terhad selepas barisan penggubal undang-undang negara itu gagal meluluskan pakej rangsangan bagi menampan negara maju itu daripada impak pandemik koronavirus (Covid-19).

Akibatnya, beberapa pelabur yang sebelum ini mengharapkan pakej rangsangan itu secara besar-besaran melepaskan rasa kecewa dengan menjual unit mata wang negara maju tersebut.

“Kalangan penggubal undang-undang di Washington gagal mencapai kata sepakat berhubung langkah pakej rangsangan itu manakala undian pada Isnin tidak dapat dilakukan berikutan perbalahan pihak Republican dan Demokrat berhubung butiran cadangan perbelanjaan AS$1 bilion dalam pakej itu,” kata peniaga.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0474/0543 daripada 3.0303/0369 sewaktu dagangan ditutup pada Jumaat dan rendah berbanding euro kepada 4.7539/7634 daripada 4.7204/7303, sebelum ini.

Ringgit juga rendah berbanding yen Jepun kepada 4.0290/0374 daripada 3.9811/9898, tetapi mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1619/1730 daripada 5.1926/2042.

— Bernama

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen