Usahawan Wanita Diharap Lebih Ramai Daftar SSM

Datuk Seri Rina Mohd Harun

JOHOR BAHRU — Lebih ramai usahawan wanita diharap mendaftarkan perusahaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membantu mereka meningkatkan lagi pencapaian dalam bidang perniagaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata masih ramai usahawan wanita yang hebat serta mempunyai potensi untuk maju dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Kita harus beri kesedaran kepada mereka. Bila kita jadi usahawan, kita nak jadi lebih maju dan berjaya, untuk menjadi jutawan. Bukannya kerana kita nakkan bantuan yang disebutkan tadi (bantuan sara hidup dan lain-lain).

“Biarlah kita berikan (bantuan) kepada mereka yang lebih memerlukan,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sikap sebilangan besar usahawan wanita yang enggan mendaftar dengan SSM berikutan kebimbangan kehilangan kelayakan untuk menerima bantuan daripada kerajaan termasuk Bantuan Sara Hidup.

Rina berkata menerusi beberapa program yang diadakan di Kelantan dan Perak, kebimbangan sama turut disuarakan oleh segelintir wanita, namun apabila diberi penerangan, ramai usahawan wanita bertindak berdaftar dengan SSM.

“Ini adalah asas-asas (perniagaan) yang diperlukan, pendaftaran dengan SSM, akaun bank. Kita mahu mereka berubah, daripada jadi usahawan desa sampai ke peringkat antarabangsa,” tambah Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

Setakat ini, seramai 84,000 usahawan wanita yang berdaftar di bawah kementerian melalui sistem e-usahawan, yang mana cuma kira-kira 24 peratus didapati mendaftar dengan SSM.

Beliau berharap agar peratusan itu meningkat kepada 50 peratus pada tahun hadapan, dipacu oleh peningkatan kesedaran oleh usahawan wanita mengenai pentingnya kemajuan dalam bidang perniagaan.

— BERNAMA

 


Featured Image: BERNAMA


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen