Borak Tepi bersama Shamir Adnan Shaukat, Jejahit di Awan

Borak Tepi bersama Shamir Adnan Shaukat, Jejahit di Awan

Perniagaan kedai jahit atau tukang jahit upahan bukanlah baharu. Ia adalah perkhidmatan yang sering diperlukan dan penjana ekonomi buat sekian lama.

Begitulah juga dengan proses pengendaliannya, dari mengambil ukuran badan sehingga ke pembayaran. Hanya bergantung kepada catatan di buku ukur dan resit bukti ukur bayar.

Tiada apa yang salah jika semuanya berjalan dengan lancar. Apabila sudah ada kain yang tersalah ukur, En Ali mendapat baju Puan Aminah, sedikit sebanyak ia akan mengecewakan pelanggan. Dan tiada rekod pelanggan yang berkesan juga membantutkan proses usahawan jahit untuk berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.

Sedar akan permasalahan ini, Tuan Shamir Adnan bersama rakan sepasukannya di Jom Awan Tekno Sdn Bhd telah mengambil inisiatif untuk membangunkan aplikasi Jejahit.

Berikut, 5 soalan borak tepi yang diajukan kepada beliau.

#1 – Siapa anda dan apa perlunya aplikasi Jejahit yang umum perlu tahu?

Saya seorang yang berpengalaman luas dalam bidang grafik, pengurusan projek IT dan juga berperanan sebagai spearhead, mengepalai aktiviti perancangan Jom Awan Tekno Sdn Bhd. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Elektrik & Elektronik, dan ramah orangnya.

Jejahit JomLaunch 2020
TOP 5 best project Award JomLaunch 2020

Aplikasi Jejahit ini mampu memudahkan proses berurusan diantara orang ramai dan usahawan jahitan, dan begitu juga sebaliknya. Dengan maklumat yang tersimpan di satu tempat yang selamat dan khusus, ia memudahkan proses tempahan, penerimaan dan pembayaran.

Aplikasi Jejahit juga amat sesuai digunakan oleh pereka fesyen, segala maklumat rekaan mudah sahaja untuk dilanjutkan kepada tukang jahit.

Sama ada anda usahawan jahitan atau pereka fesyen, cubalah aplikasi Jejahit ini, kerana ia dihasilkan untuk anda.

#2 – Selain menukar proses tempahan ke digital, apa bagusnya Jejahit?

Aplikasi Jejahit ini bukanlah hanya setakat menukar proses analog ke digital, ia lebih dari itu.

Susun atur sistem telah direka membolehkan usahawan jahitan memantau secara teliti dan halus setiap tempahan yang diterima.

Dengan fungsi mod ukuran badan yang boleh diubah mengikut kesesuaian, ia adalah satu tambah nilai yang penting dan bagus pada pendapat saya.

Selain itu, aplikasi Jejahit ini boleh dikategorikan sebagai aplikasi CRM atau kata penuhnya Customer Relationship Manager, yang dibina khusus untuk usahawan jahitan.

#3 – Adakah Jejahit hanya untuk usahawan jahitan? Bagaimana pula dengan pelanggan?

Jika anda maksudkan penggunaan aplikasi Jejahit ini untuk pelanggan. Buat masa ini belum ada perancangan untuk membolehkan pelanggan menggunakan aplikasi Jejahit. Ia hanya direka untuk usahawan jahitan merekodkan tempahan, pengurusan maklumat pelanggan dan pengeluaran resit.

Dalam erti kata lain, ia untuk kegunaan kedai, tukang jahit, pereka fesyen atau yang berkaitan dengan penerimaan servis jahitan.

Tetapi, kami ada membangunkan laman web pelantar yang dinamakan jejahit2u.com atau ringkasnya jahit2u.com.

Pelantar ini membantu menghubungkan antara pelanggan dengan usahawan jahitan dalam satu tempat. Bakal pelanggan boleh mencari usahawan jahitan mengikut kemahiran yang bersesuaian, seperti menerima tempahan baju kurung sahaja, jahitan kraf, telekung, langsir, atau pakaian korea atau hanya menawarkan servis pengubahsuaian sahaja. Semua ini boleh didapati dalam pelantar ini.

#4 – Antara cabaran sukar pada peringkat permulaan?

Seperti mana semua Startup yang lain, kami bermula dengan modal yang terhad dan bergerak secara perlahan-lahan dengan kemampuan yang ada. Alhamdulillah, kami berjaya mendapat sedikit dana untuk kami bergerak dan bertahan sehingga kini, walaupun jumlahnya kecil.

Apabila pandemik covid menyerang, banyak aktiviti dan perancangan kami terhenti seketika. Walaupun begitu aturannya, kami masih bertahan dan meneruskan idea kami secara perlahan-lahan. Kini, apabila aktiviti sudah boleh dijalankan semula, kami kembali aktif bergerak secara agresif dalam melakukan pemasaran.

Selain itu, meyakinkan pelanggan dan proses untuk ubah minda pelanggan adalah cabaran yang paling hebat. Antara sebabnya, kebanyakan pelanggan selesa dan takut untuk mencuba perkara yang baharu. Disini, pendidikan dan kesedaran pentingnya penggunaan sistem dalam perniagaan perlu disemaikan kepada usahawan.

#5 – Serba sedikit perancangan Jejahit seterusnya?

Secara umum, kami ingin berkolaborasi dengan pelbagai pihak dalam industri yang sama, bagi mewujudkan satu ekosistem jahitan yang mapan.
Sebagai contoh, kami ingin bekerja sama dengan pusat Giat Mara dengan memberikan maklumat tentang perniagaan usahawan jahitan dan peluang pekerjaan buat pelatih Giat Mara.

Program JEJAHIT dengan Giat Mara Muar
Program JEJAHIT dengan Giat Mara Muar bersama Pengarah En.Khairul

Harapan kami; kami menjemput, individu, swasta, badan dan agensi kerajaan untuk bekerjasama dengan kami bagi menjayakan ekonomi-digital dalam industri fesyen dan jahitan tempatan.

 

Baca: Borak Tepi yang lain

 


Website: Jejahit.com Jejahit2u.com


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen