Kisah Pengasas Pasaraya MYDIN

Kisah Pengasas Pasaraya MYDIN

Bila sebut sahaja mengenai pasaraya borong di Malaysia, mesti setiap orang akan sebut nama Pasaraya Mydin. Ini kerana Pasaraya Mydin merupakan salah satu pasaraya borong yang popular di kalangan peniaga-peniaga runcit.

Tetapi, tahukah anda siapa sebenarnya pemilik rangkaian pasaraya borong ini?. Mari kita lihat bagaimana sejarah Pasaraya Mydin bermula dan siapakah gerangan pengasasnya.

Mydin Bermula Di Pulau Pinang

Sejarah Pasaraya Mydin sebenarnya bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Kedai Mydin yang pertama dibuka di Pulau Pinang oleh Tuan Ghulam Hussein Jamal. Setelah kedai milik keluarga mereka di Pulau Pinang terbakar pada zaman Perang Dunia Kedua, Tuan Mydin Mohamed, yang merupakan anaknya telah membuka sebuah kedai kecil di Kota Bharu yang dikenali sebagai Syarikat Mydin Mohamed. Pada ketika itu, kedai tersebut menjual barang permainan dan barangan am.

Tuan Mydin memulakan perniagaannya tanpa bantuan daripada sesiapa pun, termasuklah daripada agensi kerajaan. Semuanya dimulakan dengan hasil titik peluh sendiri. Kemudian, dengan bantuan anak-anak yang terdekat, Tuan Mydin mula mengembangkan perniagaannya ke Kuala Terengganu sekitar tahun 1979, dan Jalan Masjid India di Lembah Klang pada tahun 1989. Rentetan dari situlah Syarikat Mydin mula dikenali masyarakat, sehingga berjaya membuka ratusan rangkaian kedai serta pasaraya dan francais di seluruh negara.

Daripada sebuah kedai kecil, kini Syarikat Mydin telah menjadi syarikat pemborong dan peruncit terbesar di negara ini, dengan adanya lebih 95 cawangan di seluruh negara. Selain daripada itu, rangkaian perniagaan Mydin turut berkembang kepada jenis perniagaan yang berbeza dengan adanya pasaraya besar, emporium, kedai serbaneka, pasaraya mini, serta bazaar. Kepelbagaian ini yang berasaskan keperluan penduduk setempat, telah menghasilkan keuntungan lebih RM1.6 billion setahun.

Menjadi perkara biasa bagi sesebuah perniagaan itu untuk menghadapi pelbagai risiko, begitu jugalah Syarikat Mydin. Namun, sikap tidak berputus asa dan tidak mudah patah semangat dalam diri Tuan Mydin dan keluarga beliau, telah menjadikan Syarikat Mydin lebih berjaya dari tahun-tahun sebelumnya.

Anak Menyambung Legasi

Kini, syarikat ini dikenali sebagai Syarikat Mydin Mohamed Holdings Berhad, dan pengurusannya pula diambil alih oleh Dr Wira Dr Haji Ameer Ali Mydin. Anak Melayu yang berasal dari Kota Bharu, negeri Cik Siti Wan Kembang ini dilahirkan pada 4 Jun 1956 adalah Pengarah Urusan atau COO kepada rangkaian pasaraya Mydin Mohamed Holdings Berhad kini.

Beliau merupakan anak kedua kepada pengasas pasaraya Mydin, iaitu Tuan Mydin Mohamed bin Ghulam. Beliau merupakan pemegang Sarjana Perniagaan Antarabangsa dari Sonoma State University di California. Sejak daripada kecil lagi, beliau mendapat didikan dan ajaran dari bapanya dalam ilmu perniagaan.

Jangan Takut Perubahan

Menurut Datuk Wira Dr Ameer Ali. Bapanya, Tuan Mydin Mohamed banyak mengajar beliau untuk lebih berdisiplin, bersungguh-sungguh, menepati masa. Berjimat-cermat serta mengamalkan sikap jujur dalam perniagaan. Tidak hairanlah apabila ditanya mengenai rahsia kejayaan, prinsip-prinsip inilah yang disebut menjadi pemangkin kejayaan hidup dan perniagaan beliau.

Tambah beliau lagi, sikap “jangan takut untuk melakukan perubahan” turut diterapkan. Supaya sesebuah perniagaan itu boleh terus maju dan tidak berada ditakuk lama.

Nasihat Datuk Wira Dr Haji Ameer Ali kepada peniaga-peniaga muda masa kini. Kejayaan dan keuntungan dalam perniagaan tidak akan datang melalui jalan yang singkat. Kesabaran dan semangat yang tinggi adalah kunci utama untuk berjaya.

 


Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis di laman web Majalah Labur


 

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen