BERGELAR usahawan tidak mudah walaupun dari luarannya mereka kelihatan hebat, namun tidak ramai yang tahu jatuh bangun seorang usahawan sebelum mereka berjaya.
Bagi cef selebriti, Ili Sulaiman untuk menguruskan sebuah perniagaan usahawan perlu bijak menangani situasi, terutamanya ketika mengalami kejatuhan.
“Paling mencabar bagi saya adalah menguruskan sumber manusia. Bukan semua pekerja mempunyai nilai dan aspirasi yang sama seperti pemilik perniagaan.
“Banyak perkara perlu difikirkan, gaji pekerja perlu dibayar dan anda perlu memikirkan bagaimana untuk mengukuhkan perniagaan. Ia bukan mudah. Pengalaman saya terpaksa menutup dua syarikat iaitu perkhidmatan penghantaran makanan dan restoran adalah tamparan yang sangat hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada forum Young Entrepreneur: A Journey to Success di Unitar di Petaling Jaya baru-baru ini.
Turut sama sebagai panel pada forum itu adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ZeptoExpress Mohd Izzairi Yamin; CEO Youth Ventures dan Pengasas Bersama Qtix, Hanif Marzuki Mohd Saupi dan Pengasas dan CEO Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli.
Pada forum berkenaan, barisan panel berkongsi pengalaman, cabaran dan episod jatuh bangun dalam perniagaan dan bagaimana mereka kembali bangkit serta berjaya dalam industri diceburi masing-masing.
Forum anjuran Fakulti Perniagaan dan Teknologi Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar) itu dikendalikan oleh moderator yang juga penyanyi rap, usahawan dan ikon belia, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice.
Kira-kira 350 penuntut universiti berkenaan daripada pelbagai jurusan dari peringkat asasi hingga sarjana hadir mengikuti forum selama dua jam itu.
Kegagalan buat saya matang
Bagi Mohd Izzairi pula, penting untuk seseorang yang mahu bergelar usahawan mempunyai ilmu pengurusan dan kewangan bermula dari peringkat awal perniagaan.
“Saya ada impian yang besar. Tamat belajar saya mahu bekerja sendiri dan jadi usahawan. Saya rasa sudah cukup bijak untuk bergerak sendiri tetapi ketika itu saya terlalu muda dan naif. Pengalaman pertama, saya gagal.
“Kegagalan itu membuatkan saya lebih matang dan memberi pengajaran yang besar. Saya bangkit dan belajar dengan orang lebih berpengalaman. Alhamdulillah ZeptoExpress kini terus berkembang,” katanya.
Sementara itu, Azhari berkata, jangan ada istilah putus asa dalam diri usahawan kerana sikap itu hanya akan mematahkan semangat untuk terus mencuba dan berjaya.
“Orang lain nampak kita hidup mewah tapi mereka tidak merasa kepayahannya untuk mendapatkan pulangan lumayan itu kerana ia terhasil daripada kerja keras dan usaha berterusan.
“Menjadi usahawan itu tidak seksi. Ya saya tidak menafikan memang seronok apabila kita mendapat hasilnya. Tetapi perlu sentiasa ingat, apa big why kita. Jika ada masalah fahaminya dan selesaikan dengan cara terbaik,” katanya.
Dedah penuntut dunia perniagaan
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan dan Teknologi Unitar, Roslan Mohd Rose berkata, penganjuran program adalah sebahagian daripada inisiatif dalam usaha mendedahkan penuntut kepada dunia perniagaan.
“Kita tahu seorang usahawan mampu mengubah landskap dunia dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
“Kita mahu pelajar, terutamanya golongan muda mengambil peluang dan menjadikan cerita serta pengalaman mereka sebagai sumber inspirasi dalam membina kerjaya pada masa hadapan,” katanya.Katanya, forum menerapkan kompetensi elemen CARE dalam pengajian mereka yang dilancarkan pada April lalu, sekali gus memberi pendedahan kepada penuntut mengenai dunia perniagaan.
“Inisiatif ini bagi menggalakkan pelajar menceburi bidang keusahawanan sebagai bidang kerjaya sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian.
“Kerja makan gaji bukan bermaksud tidak bagus tetapi melalui bidang keusahawanan mampu membantu melonjakkan ekonomi negara di samping membuka peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
seksi ke
seksi ler juga
Saya setuju dan senada dengan artikel ini. Semoga bermanfaat kepada kita semua.