Guna Dron Hantar Pos Barang

Guna dron secara komersil lima tahun lagi

Guna dron secara komersil lima tahun lagi

Penggunaan dron secara komersil dalam industri pos dan kurier mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, teknologi dron mempunyai kelebihan dalam beberapa bidang seperti kesihatan, pertanian dan perubatan malah, boleh membantu membawa bekalan makanan kepada mereka yang terperangkap dalam banjir.

Katanya, penggunaan inovasi ‘Unmanned Aerial Vehicle’ (UAV) dron sedang giat dilaksanakan di pelbagai negara seperti Switzerland, yang mana Swiss Post telah menggunakan dron secara komersil bagi menghantar sampel atau spesimen makmal di antara klinik dan hospital sejak 2018.

“Malaysia sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam arus permodenan itu, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyuarakan pendapat bahawa negara kita mesti meneroka teknologi baharu seperti dron dan kepintaran buatan” katanya kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Parcel Drone 2019 di Kompleks Sukan Air Putrajaya, hari ini.

Gobind berkata, contoh kegunaan dron di negara ini ialah untuk menghantar bekalan ubat-ubatan ke kawasan terpencil dan luar bandar pada masa kecemasan, atau melihat jenis pokok serta membawa baja bagi kawasan luas dalam industri pertanian.

Pertandingan Parcel Dron yang dianjurkan oleh Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, membabitkan 40 peserta termasuk daripada beberapa institusi pengajian tinggi.

Peserta diberi dua kesempatan bagi menerbangkan dron dengan muatan seberat dua kilogram dan mereka perlu menerbangkan bungkusan sejauh dua kilometer merentasi Tasik Putrajaya dan kembali semula ke tapak pelancaran dalam masa terpantas.


Sumber: BERNAMA


 

Kongsikan Artikel Ini