Pengiklanan Melalui Tajaan

Pengiklanan Melalui Tajaan

Pengiklanan melalui tajaan adalah salah satu aktiviti yang ramai usahawan lakukan. Aktiviti ini pada asasnya tidak mensasarkan keuntungan terhadap kos tajaan.

Apa itu tajaan?

Tajaan merupakan salah satu sokongan kepada sesuatu perkara, samada dalam bentuk kewangan, ataupun berbentuk barangan. Tajaan bukanlah pengiklanan, Penajaan merupakan satu medium untuk mempromosikan sesebuah syarikat yang menaja sesuatu acara mahupun program.

Apa baiknya menjadi penaja?

Sebagai penaja, secara tidak langsung anda mempunyai akses kepada medium pemasaran yang mempunyai objektif tumpuan seperti:

  1. Golongan sasaran
  2. Imej Positif
  3. Hubungan Perniagaan
  4. Komuniti

Golongan Sasaran

Kebiasaannya, sesebuah acara itu dilakukan dengan mempunyai sasaran segmen khalayak yang tertentu. Kita sering melihat syarikat-syarikat yang mengeluarkan minuman tenaga sering menaja acara sukan.

Sebagai contoh, Redbull yang sering menaja acara sukan ekstrem. Secara tidak langsung, Redbull memberikan gambaran minuman tenaga mereka sangat sesuai untuk atlet sukan ekstrem. Yang menonton acara mereka juga merupakan peminat sukan ekstrem.

Menampakkan Imej Positif

Satu lagi objektif penajaan ialah, ianya membolehkan syarikat dilihat sebagai “syarikat yang baik.” Mereka ini dilihat sebagai menyokong masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, serta menunaikan tanggungjawab sosial.

Meningkatkan Hubungan Perniagaan

Penajaan yang menawarkan nilai tambah kepada penaja sangatlah bagus. Terdapat acara yang menyediakan pakej makan malam bersama vip. Sesi suai kenal sesama penaja. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan hubungan perniagaan yang baharu.

Dekat dengan Komuniti

Produk atau syarikat anda secara tidak langsung akan menjadi sebahagian daripada komuniti tersebut. Lebih mudah menjual sekiranya produk anda tergolong didalam semangat kekitaan sesebuah komuniti. Nafi-lah sebanyak mana sekalipun, semangat kekitaan itu tetap wujud dalam diri setiap manusia.

Dua produk yang sama, sasaran khalayak yang sama. Semangat kekitaanlah akan membuatkan pelanggan memilih produk kita.

 


Artikel ini telah disumbangkan oleh Jasdy Syarman Mohd Saari. Beliau adalah penggerak projek komuniti JomWeb dan beberapa projek komuniti yang lain.