Cukai Makmur Mampu Diuruskan Oleh Bank

Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR, 12 Nov — Impak pelaksanaan Cukai Makmur yang diumumkan dalam Bajet 2022 baru-baru ini dijangka mampu diuruskan oleh pihak bank berikutan ia adalah cukai secara ‘one-off’ atau sekali sahaja, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

“Walaupun Cukai Makmur akan mengurangkan perolehan tertahan bank untuk tahun depan, keuntungan keseluruhan mereka dijangka kekal didorong oleh peningkatan pertumbuhan pinjaman berikutan pemulihan negara daripada kesan pandemik yang berpanjangan.

“(Ia akan turut disokong oleh) tahap peruntukan yang berpotensi lebih rendah pada tahun depan dalam keadaan beberapa penambahbaikan terhadap unjuran risiko kredit,” katanya pada sidang akhbar bersama antara BNM dan Jabatan Perangkaan mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia bagi suku ketiga 2021 pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan sama ada cukai yang dicadangkan itu akan mengurangkan jumlah keuntungan bersih bank bagi tahun kewangan 2022 dan bagaimana mereka akan bersedia dengan cukai baharu ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa membentangkan Bajet 2022 berkata cukai itu dicadang diperkenalkan kepada syarikat yang menjana pendapatan bercukai tinggi, dengan RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022.

Ia dijangka melibatkan tidak lebih 250 syarikat.

— BERNAMA

Kongsikan Artikel Ini

Tinggalkan Komen