Program SME Incubator Sasar 200 Usahawan

Program SME Incubator Sasar 200 usahawan

PUTRAJAYA: Badan Usaha IKS Inkubator Sdn Bhd menyasarkan 200 usahawan seluruh negara akan menyertai program SME Incubator Malaysia yang dikendalikannya tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Fauzi Mohamad, berkata peserta akan dipilih melalui sesi temuduga bagi memastikan projek-projek yang dilaksanakan mencapai sasaran tumpuannya iaitu kepada belia dan golongan B40.

“SME Incubator Malaysia diuruskan dan dimiliki sepenuhnya oleh kami dan bertujuan mahu melahirkan usahawan Bumiputera yang cemerlang dan kompetitf di dalam dan luar negara.

“Menerusi program inkubator ini, peserta akan dibimbing oleh kami yang akan bertindak sebagai koordinator. Program ini akan menyediakan ekosistem keusahawanan yang lengkap bagi memperkasakan kemahiran pesertanya.

“Projek-projek yang dijalankan pula adalah bertumpu kepada hasil keperluan harian rakyat. Ini secara langsung membantu menambahkan bekalan makanan di dalam negara dan secara tidak langsung menyumbang kepada kestabilan harga barang makanan dalam jangka panjang,” katanya selepas majlis pelancaran program SME Incubator Malaysia di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Hadir sama ialah Pengerusi Badan Usaha IKS Inkubator, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman

Sementara itu, Mohd Redzuan, berkata kementeriannya mahu lebih banyak syarikat swasta tampil menganjurkan program inkubator untuk usahawan tempatan.

Katanya, berkata kementerian sentiasa menggalakkan sektor swasta untuk membantu usahawan tempatan dengan memberi ruang dan peluang mereka dengan antaranya menerusi inkubator.

“Kita menggalakkan apa sahaja usaha yang membantu usahawan, kita bukan boleh buat semua. Kita perlu saling lengkap melengkapi (kerajaan dan swasta)

“(Justeru) kementerian akan membantu memastikan sektor swasta dan kerajaan bergerak selari seperti industri apakah yang mahu sama-sama diterokai. Mereka (swasta) boleh menjadi satu platform atau kumpulan yang membawa usahawan yang kerajaan tidak boleh atau di luar jangkauan kami untuk didampingi untuk dibantu dan dibimbing.

“Menerusi kerjasama begini, kita boleh mengenal pasti (usahawan tempatan) melalui sektor swasta supaya kita dapat menyasarkan hala tuju yang telah ditetapkan,” katanya.

 


Sumber: BH Online


 

Kongsikan Artikel Ini